Kini pihak kerajaan telah menjalankan beberapa aktivti untuk meningkatkan taraf hidup penduduk amnya yang dikategorikan sebagai golongan yang berpendapatan rendah. Untuk itu, program-program ini lebih berteraskan kepada projek mesra rakyat. Namun, sejauh mana keberkesanan program ini untuk meningkatkan taraf hidup golongan ini? Sejauh mana kerjasama yang diberikan oleh agensi perlaksana serta kerjasama daripada para peserta?
Program SATU AZAM adalah salah satu program khas kerajaan untuk meningkatkan pendapatan golongan penduduk yang dikategorikan sebagai miskin tegar serta golongan miskin. Untuk program AZAM TANI, agensi kerajaan yang terlibat iaitu agensi Jabatan Pertanian yang dikhaskan untuk melaksanakan program AZAM TANI sahaja. Sebagai permulaan program ini, para penduduk yang telah dikenalpasti akan diselidik terlebih dahulu untuk memastikan golongan ini benar-benar layak untuk menerima program ini ataupun tidak. Bagi pengenalpastian para peserta ini, terdapat beberapa kelemahan yang diberi perhatian oleh pihak perlaksana amnya, iaitu senarai nama yang diberikan daripada agensi kerajaan tempatan mempunyai maklumat yang telah uzur iaitu lebih kurang 10-20 tahun yang lepas. Untuk itu, adalah penting bagi melaksanakan penyelidikan atau menyiasat latar belakang para peserta agar program ini tidak diberikan kepada golongan yang tidak sepatutnya.
a. Mempunyai pendapatan kurang daripada RM700.00 untuk satu bulan.
b. Mempunyai minat serta keupayaan dari segi mental dan fizikal untuk melaksanakan projek.
c. Mempunyai lokasi tapak projek.
d. Mempunyai julat umur diantara 80 tahun dan ke bawah.
e. Mempunyai kesihatan yang baik dari segi mental dan fizikal.
Bagi anggota perlaksana amnya di bahagian pedalaman, keadaan yang sukar untuk dihubungi merupakan salah satu cabaran yang bakal ditempuhi untuk menjejaki golongan ini. Selain daripada itu, faktor ketidaktentuan untuk mengenalpasti sama ada peserta ini masih ada atau tidak juga merupakan satu faktor lain yang akan dikenalpasti.
Untuk itu juga, projek yang akan diberikan kepada para peserta projek ini adalah bernilai RM10,000 untuk seorang peserta. Jenis-jenis projek juga dikenalpasti untuk membolehkan para peserta ini dapat melaksanakan projek tersebut dengan memdapat bimbingan daripada agensi perlaksana berkenaan.
Oleh hal yang sedemikian, projek yang akan diberikan kepada para peserta adalah berlandaskan kepada minat serta keadaan umur dan juga keadaan kesihatan para peserta. Contohnya, untuk golongan yang umurnya adalah dalam lingkungan 80 tahun adalah tidak berbaloi untuk memberikan mereka projek yang memerlukan banyak tenaga. Oleh itu, tanaman sayur-sayuran misalnya merupakan satu alternatif tanaman yang digalakkan untuk golongan ini laksanakan.
Tanaman jangka pendek adalah tanaman yang disyorkan kepada golongan ini disebabkan kadar pertumbuhannya yang cepat serta dapat mendatangkan hasil yang cepat dan senang untuk golongan ini laksanakan. Namun, seandainya golongan ini tidak mempunyai minat untuk melaksanakan tanaman atau ternakan yang disyorkan, maka mereka diberikan pilihan untuk memilih jenis tanaman atau ternakan yang hendak mereka laksanakan dan akan dibantu oleh agensi perlaksana yang akan membimbing mereka dari segi teknikal serta dari segi kepakaran.
Selepas projek dilaksanakan dan membuahkan hasil adalah menjadi tanggungjawab anggota perlaksana untuk memberikan pertolongan dari segi pemberian maklumat serta bimbingan dari segi pasaran untuk hasil tanaman tersebut. Di sini, cabaran yang utama adalah untuk menentukan pasaran yang sesuai untuk hasil tanaman serta hasil ternakan ini untuk dijual di pasaran tempatan. Kebanyakkan pasaran tempatan mempunyai banyak hasil tanaman yang serupa dan ini menyukarkan hasil tersebut untuk dipasarkan. Ini ditambah lagi seandainya populasi penduduk di sesuatu kawasan tersebut mempunyai bilangan yang kurang dan ini sekaligus memberi kesan terhadap permintaan barangan tersebut yang mempunyai penghasilan yang tinggi. Keadaan ini boleh menyebabkan lambakan tanaman tersebut di pasaran.
Oleh hal yang sedemikian, adalah penting untuk mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil untuk menentukan keadaaan semasa pasaran tempatan agar hasil tanaman tersebut dapat dijual dengan harga yang sepatutnya dan tidak berlaku lambakan hasil tanaman di pasaran serta memberi pulangan yang sepatutnya kepada para peserta tersebut.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.